She_da

Wednesday, March 25, 2009

Asal Usul Solat

SUBUH:

Orang yang pertama mengerjakan sembahyang Subuh ialah Nabi Adam a.s., iaitu tatkala baginda keluar dari syurga lalu dihantar ke bumi. Perkara pertama yang dilihatnya ialah kegelapan dan baginda berasa takut yang amat sangat. Apabila fajar Subuh telah keluar Nabi Adam a.s. pun bersembahyang dua rakaat.
Rakaat pertama:- Bersyukur baginda kerana terlepas dari kegelapan malam.
Rakaat kedua:- Bersyukur baginda kerana siang telah menjelma.

ZOHOR:


Orang yang pertama mengerjakan sembahyang Zohor ialah Nabi Ibrahim a.s.,iaitu tatkala Allah s.w.t. telah memerintahkan padanya agar menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s. Sedang seruan itu datangnya pada waktu tergelincir matahari, lalu sujudlah Nabi Ibrahim empat rakaat.
Rakaat pertama:- Bersyukur bagi penebusan.
Rakaat kedua:- Bersyukur kerana dibukakan dukacitanya dan juga anaknya.
Rakaat ketiga:- Bersyukur dan bermohon akan keredhaan Allah.
Rakaat keempat:- Bersyukur kerana korbannya digantikan dengan tebusan kibas.

ASAR:


Orang yang pertama mengerjakan sembahyang Asar ialah Nabi Yunus a.s.,tatkala baginda dikeluarkan oleh Allah dari perut ikan nun. Ikan nun telah memuntahkan Nabi Yunus di tepi pantai sedang ketika itu telah masuk waktu Asar. Maka bersyukurlah Nabi Yunus lalu bersembahyang empat rakaat kerana baginda telah diselamatkan oleh Allah daripada 4 kegelapan iaitu:
Rakaat pertama:- Kelam dengan kesalahan.
Rakaat kedua:- Kelam dengan air laut.
Rakaat ketiga:- Kelam dengan malam.
Rakaat keempat:- Kelam dengan perut ikan Nun.

MAGHRIB:


Orang yang pertama mengerjakan sembahyang Maghrib ialah Nabi Isa a.s.,tatkala baginda dikeluarkan oleh Allah dari kejahilan dan kebodohan kaumnya, sedang waktu itu telah terbenamnya matahari. Bersyukurlah Nabi Isa lalu bersembahyang tiga rakaat kerana diselamatkan dari kejahilan tersebut,
iaitu:
Rakaat pertama:- Untuk menafikan ketuhanan selain daripada Allah yang Maha Esa.
Rakaat kedua:- Untuk menafikan tuduhan dan juga tohmahan ke atas ibunya Siti Mariam yang telah dituduh melakukan perbuatan sumbang.
Rakaat ketiga:- Untuk meyakinkan kaumnya bahawa Tuhan itu hanya satu iaitu Allah jua, tiada dua atau tiga.

ISYAK:


Orang yang pertama mengerjakan sembahyang Isyak ialah Nabi Musa a.s. Pada ketika itu Nabi Musa telah tersesat mencari jalan keluar dari negeri Madyan, sedang dalam dadanya penuh dengan perasaan dukacita. Allah lalu menghilangkan semua perasaan dukacitanya itu pada waktu Isyak yang akhir.Lalu sembahyanglah Nabi Musa empat rakaat sebagai tanda bersyukur.
Rakaat pertama:- Dukacita terhadap isterinya.
Rakaat kedua:- Dukacita terhadap saudaranya Nabi Harun.
Rakaat ketiga:- Dukacita terhadap Firaun.
Rakaat keempat:- Dukacita terhadap anak Firaun.

Terbitkan makna dalam kita mengerjakan solat semoga dengan memahami bacaan akan membuat kita lebih khusuk dalam solat.

Allah Maha Besar (Takbiratulihram)

Doa Iftitah

Allah Maha Besar dan segala puji bagi Allah dengan banyaknya. Maha suci Allah sepanjang pagi dan petang. Aku hadapkan wajahku bagi Tuhan yang mencipta langit dan bumi, dengan suasana lurus dan berserah diri dan aku bukan dari golongan orang musyrik. Sesungguhnya solatku, Ibadatku, hidupku, matiku adalah untuk Allah Tuhan sekelian alam. Tidak ada sekutu bagiNya dan kepadaku diperintahkan untuk tidak menyekutukan bagiNya dan aku dari golongan orang Islam.

Al-Fatihah

Dengan nama Allah yang maha Pemurah lagi maha Mengasihani. Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Yang maha pemurah lagi maha mengasihani. Yang menguasai hari pembalasan. Hanya Engkaulah yang kami sembah dan hanya kepada Engkau kami mohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau kurniakan nikmat kepada mereka, bukan jalan mereka yang Engkau murkai dan bukan jalan mereka yang sesat.

Bacaan ketika rukuk

Maha Suci TuhanKu Yang Maha Mulia dan dengan segala puji-pujiannya.

Bacaan ketika bangun dari rukuk

A l lah mendengar pujian orang yang memujinya.

Bacaan ketika iktidal

Wahai Tuhan kami, bagi Engkaulah segala pujian.


Bacaan ketika sujud

Maha suci TuhanKu yang Maha Tinggi dan dengan segala puji-pujiannya.

Bacaan ketika duduk di antara dua sujud

Ya Allah, ampunilah daku, Rahmatilah daku, kayakan daku, angkatlah darjatku, rezekikan daku, berilah aku hidayah, sihatkanlah daku dan maafkanlah akan daku.

Bacaan ketika Tahiyat Awal

Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah. Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya. Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah. Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad.

Bacaan ketika Tahiyat Akhir

Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah. Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya. Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah. Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya. Sebagaimana Engkau selawatkan ke atas Ibrahim dan atas keluarga Ibrahim. Berkatilah ke atas Muhammad dan atas keluarganya sebagaimana Engkau berkati ke atas Ibrahim dan atas keluarga Ibrahim di dalam alam ini. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Agung.

Doa Qunut

Ya Allah, berilah aku petunjuk sebagaimana orang-orang yang telah Engkau tunjuki. Sejahterakanlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau sejahterakan. Pimpinlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau pimpin. Berkatilah hendaknya untukku apa-pa yang telah Engkau berikan padaku. Jauhkanlah aku daripada segala kejahatan yang telah Engkau tetapkan. Sesungguhnya hanya Engkau sahajalah yang menetapkan, dan tidak sesiapapun yang berkuasa menetapkan sesuatu selain daripada Engkau. Sesungguhnya tidak terhina orang yang memperolehi pimpinanMu. Dan tidak mulia orang-orang yang Engkau musuhi. Telah memberi berkat Engkau, ya Tuhan kami dan maha tinggi Engkau. Hanya untuk Engkau sahajalah segala macam puji terhadap apa-apa yang telah Engkau tetapkan. Dan aku minta ampun dan bertaubat kepada Engkau. Dan Allah rahmatilah Muhammad, Nabi yang ummi dan sejahtera keatas keluarganya dan sahabat-sahabatnya.

"Wahai Tuhan, aku tak layak ke syurgaMu ...namun tak pula aku sanggup ke NerakaMu.... kami lah hamba yang mengharap belas darimu ."ya Allah jadikan lah kami hamba2 Mu yang bertaqwa..ampunkan dosa2 kami .kedua ibubapa kami .dosa semua umat2 Islam yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia"


AKAN KU SAMPAI KAN WALAU SEBARIS AYAT

Assalamualaikum wbt...Salam Sejahtera

Aku Mahu Tinggalkan Dunia Dalam Sujudku

SUATU malam ketika aku sedang nyenyak tidur tiba-tiba aku melihat seolah-olah ayahanda menjelma di hadapanku. Perasaan kasih pada ayahanda tidak dapat ditahan-tahankan lagi, lalu aku berteriak: "Ayah... sudah lama tiada berita dari langit sejak ayahanda tiada!"

Waktu itu aku terlalu rindu setelah beberapa hari ayahanda wafat. Ketika aku sedang memanggil-manggil ayahanda, muncul pula para malaikat bersaf-saf lantas menarik tanganku, membawa aku naik ke langit.

Apabila aku mendongak temampaklah istana-istana indah yang dikelilingi taman-taman pawana serta anak-anak sungai mengalir saujana mata memandang.

Keindahan istana demi istana dan taman demi taman berjajaran di hadapan mata begitu mengasyikkan. Dari celahan pintu-pintu istana tersebut menjelmalah para bidadari seolah-olah patung bernyawa yang sangat jelita, sentiasa tersenyum dan bergelak ketawa. Bidadari itu berkata kepadaku: "Selamat datang wahai makhluk yang diciptakan syurga untuknya, dan kerana ayahanda kamu, kami diciptakan..."

Malaikat itu terus membawa aku naik ke langit seterusnya sehingga memasuki sebuah tempat yang dipenuhi istana-istana yang lebih indah daripada sebelumnya. Cahayanya bergemerlapan.

Dalam setiap istana itu terdapat rumah-rumah berisi pelbagai perhiasan indah yang belum pernah dilihat mata, tidak terdengar di telinga dan tidak pernah tersirat di hati. Penghuni istana-istana ini sentiasa bergembira, bergelak ketawa dan ceria. Di istana itu terdapat pelbagai kain sutera nipis dan tebal. Juga terdapat selimut-selimut daripada sutera dengan pelbagai warna dan corak.

Di atas rak-rak kelihatan pelbagai jenis gelas diperbuat daripada emas dan perak yang sungguh menawan. Pelbagai jenis hidangan makanan, buah-buahan serta air minuman yang lazat dan enak tersedia untuk dimakan. Pemandangan di taman-taman pula sungguh memukau dengan aliran sungai yang warnanya lebih putih daripada susu, rasanya lebih manis daripada madu dan baunya lebih semerbak daripada kesturi.

Aku yang kehairanan dan takjub lantas bertanya: "Untuk siapakah tempat-tempat indah sebegini dicipta? Apa nama sungai-sungai yang harum mewangi ini?"

Malaikat-malaikat itu menjawab:
"Tempat ini adalah Firdaus, tempat paling tinggi dan tiada lagi syurga di atasnya. Syurga Firdaus ini khas untuk singgahsana ayahandamu, semua rasul, nabi, para syuhada dan syiddiqun yang dicintai Allah. Sungai ini bernama al-Kautsar yang telah Allah janjikan kepada ayahandamu."

Aku bertanya lagi: "Di mana ayahandaku?"
Malaikat-malaikat menjawab: "Sebentar lagi ayahandamu akan datang menjemputmu!"

Tidak lama kemudian aku ternampak istana-istana yang sangat putih dan permaidani yang tersangat indah. Tiba-tiba aku sudah berada di atas permaidani yang terbentang di atas singgahsana. Aku ternampak ayahandaku sedang berehat di atas singgahsana tersebut dikelilingi sekelompok orang yang tidak dikenali. Ayahanda menarik tanganku dan mencium dahiku berkali-kali.

Ayahanda berkata: "Selamat datang wahai puteriku!"
Lalu ayahanda meletakkan aku di atas pangkuannya dan berkata lagi:
"Wahai puteriku, tidakkah engkau lihat apa yang telah dijanjikan Allah kepadamu dan yang akan engkau perolehi?"

Ayahanda menunjukkan istana-istana yang disaluti bermacam-macam hiasan yang indah menawan serta berkilau-kilauan, saujana mata memandang.

Ayahanda berkata: "Inilah tempat tinggalmu, kediaman suamimu, kedua-dua anakmu serta orang-orang yang mencintaimu dan mencintai mereka. Bergembiralah... engkau akan mengikut ayahanda datang ke sini beberapa hari lagi..."

Aku berkata: "Kalau begitu senanglah hatiku dan bertambah rindu pada ayahanda."
Selepas berjumpa beberapa ketika dengan ayahanda, aku terjaga. Tubuhku menggigil dan terasa takut yang amat sangat. Aku masih teringat-ingat bisikan ayahanda. Aku akan mengikut langkah ayahanda beberapa hari lagi. Aku masih ingat ayahanda berkata perkara yang sama sebelum wafat. Ayahanda pernah membisikkan bahawa akulah orang pertama yang menyahut panggilan Ilahi selepasnya.

Sejak hari ayahanda wafat lagi aku selalu menangis dan bersedih. Perasaan sedih makin terasa selepas bermimpi bertemu ayahanda. Aku tahu tidak lama lagi aku akan meninggalkan dunia fana ini untuk bersama ayahanda tercinta di akhirat yang kekal, aman dan sentosa.

Aku menceritakan mimpi tersebut pada suamiku dan juga pembantuku Asma binti Umays. Aku beritahu saat ajal hampir tiba. Asma menunjukkan pelepah kurma basah untuk membuat usungan seperti yang dilihat dibuat di Habshah.

Aku tersenyum apabila melihat keranda itu. Aku berwasiat supaya jenazahku nanti dikebumikan pada malam hari agar tiada seorang pun yang marah apabila melihat jenazahku. Aku juga meminta suamiku supaya menikahi Umamah, saudara perempuanku. Umamah menyayangi anakku seperti aku menyayangi mereka.

Setelah merasa saat ajal hampir tiba aku membawa dua orang anakku menziarah makam ayahanda. Tubuhku terasa sangat lemah untuk memijak. Tapi aku gagahi juga untuk bersembahyang dua rakaat antara mimbar dan makam ayahanda.

Tidak lama lagi jasadku akan berpisah dengan roh. Aku akan meninggalkan dua puteraku. Lalu aku peluk dan cium kedua-duanya bertubi-tubi. Sayang, ibumu terpaksa pergi dulu...

Selamat tinggal sayangku, puteraku dan suami tercinta. Biarlah aku menghadap Ilahi tanpa tangisan sesiapa. Aku tidak sanggup melihat tangisan puteraku dan suamiku. Biarlah mereka berada di sisi makam ayahanda dan suamiku bersembahyang. Kalau boleh aku mahu tinggalkan dunia ini dalam bersujud pada Ilahi.
Aku terus meninggalkan dua puteraku dan membiarkan suamiku bersembahyang di masjid. Aku mengambil ramuan hanuth, sejenis pengawet mayat yang ayahandaku biasa gunakan. Aku siramkan air ramuan itu ke seluruh tubuhku. Kemudian aku memakai kain sisa kapan ayahandaku. Selepas itu sekali lagi aku memanggil Asma binti Umays yang sentiasa mengurus dan merawatku.

Pada Asma aku berpesan, "Wahai Asma, perhatikanlah aku. Sekarang aku hendak masuk ke rumah membaringkan tubuhku sekejap. Jika aku tidak keluar, panggillah aku tiga kali dan aku akan menjawab panggilanmu. Tetapi jika aku tidak menjawab, ketahuilah aku telah mengikut jejak langkah ayahandaku!"

Setelah sejam berlalu, Asma memanggil-manggil nama wanita itu tetapi tiada sebarang jawapan. Ketika penjaga itu masuk, dia terkejut apabila melihat wanita kurus cengkung itu meninggal dunia dalam sujudnya. Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun...

Aku dalam cerita di atas ialah Fatimah az-Zahra, anak Rasulullah dengan isteri pertamanya Siti Khadijah. Fatimah meninggal dunia dalam usia 28 tahun setelah 40 hari Rasulullah s,a.w. wafat dan jenazahnya dimakamkan di perkuburan Baqi' di Madinah. Masih adakah wanita solehah seperti Fatimah di zaman moden ini?

Tidak Akan Masuk Neraka Orang Yang Menangis Kerana Takutkan Allah

"Rasulullah S.A.W telah bersabda, "Bahwa tidak akan masuk neraka orang menangis kerana takut kepada Allah sehingga ada air susu kembali ke tempat asalnya."

Dalam sebuah kitab Daqa'iqul Akhbar menerangkan bahwa akan didatangkan seorang hamba pada hari kiamat nanti, dan sangat beratlah timbangan kejahatannya, dan telah diperintahkan untuk dimasukkan ke dalam neraka.

Maka salah satu daripada rambut-rambut matanya berkata, "Wahai Tuhanku, Rasul Engkau Nabi Muhammad S.A.W telah bersabda, sesiapa yang menangis kerana takut kepada Allah S.W.T, maka Allah mengharamkan matanya itu ke neraka dan sesungguhnya aku menangis kerana amat takut kepada-Mu."

Akhirnya Allah S.W.T mengampuni hamba itu dan menyelamatkannya dari api neraka dengan berkat sehelai rambut yang pernah menangis kerana takut kepada Allah S.W.T. Malaikat Jibril A.S mengumumkan, telah selamat Fulan bin Fulan sebab sehelai rambut."

Dalam sebuah kitab lain, Bidayatul-Hidayah, diceritakan bahwa pada hari kiamat nanti, akan didatangkan neraka jahanam dengan mengeluarkan suaranya, suara nyalaan api yang sangat menggerunkan, semua umat menjadi berlutut kerana kesusahan menghadapinya. Allah S.W.T berfirman yang bermaksud, "Kamu lihat (pada hari itu) setiap umat berlutut (yakni merangkak pada lututnya). Tiap-tiap umat diseru kepada buku amalannya. (Dikatakan kepadanya) Pada hari ini kamu dibalasi menurut apa-apa yang telah kau kerjakan." (Surah al-Jatsiyah ayat 28)

Sebaik saja mereka menghampiri neraka, mereka mendengar kegeraman api neraka dengan nyalaan apinya, dan diterangkan dalam kitab tersebut bahwa suara nyalaan api neraka itu dapat didengar sejauh 500 tahun perjalanan. Pada waktu itu, akan berkata setiap orang hingga Nabi-nabi dengan ucapan, "Diriku, diriku (selamatkanlah diriku Ya Allah) kecuali hanya seorang nabi saja yang akan berkata, "Umatku, umatku."

Beliau ialah junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W. Pada masa itu akan keluarlah api neraka jahim seperti gunung-gunung, umat Nabi Muhammad berusaha menghalanginya dengan berkata, "Wahai api! Demi hak orang-orang yang solat, demi hak orang-orang yang ahli sedekah, demi hak orang-orang yang khusyuk, demi hak orang-orang yang berpuasa, supaya engkau kembali."

Walaupun dikata demikian, api neraka itu tetap tidak mahu kembali, lalu malaikat Jibril berkata, "Sesungguhnya api neraka itu menuju kepada umat Muhammad S.A.W"
Kemudian Jibril membawa semangkuk air dan Rasulullah meraihnya. Berkata Jibril A.S. "Wahai Rasulullah, ambillah air ini dan siramkanlah kepadanya." Lalu Baginda mengambil dan menyiramkannya pada api itu, maka padamlah api itu.

Setelah itu Rasulullah S.A.W pun bertanya kepada Jibril A.S. "Wahai Jibril, Apakah air itu?" Maka Jibril berkata, "Itulah air mata orang derhaka di kalangan umatmu yang menangis kerana takut kepada Allah S.W.T. Sekarang aku diperintahkan untuk memberikannya kepadamu agar engkau menyiramkan pada api itu." Maka padamlah api itu dengan izin Allah S.W.T.

Telah bersabda Rasulullah S.A.W, " Ya Allah anugerahilah kepada kami dua buah mata yang menangis kerana takut kepada-Mu, sebelum tidak ditemunya air mata."

Petua Mengasihi Isteri

1. Telefon isteri dari tempat kerja untuk bertanya khabar, memberitahu sesuatu yang menarik atau sekadar ingin menyatakan "I Love You".
2. Ucapkan kata-kata sayang sekurang-kurangnya dua kali sehari.
3. Tolong kemaskan katil dan bilik tidur.
4. Tolong terbalikkan stokin atau seumpamanya untuk memudahkan isteri mencuci. Tolong buang sampah tanpa disuruh.
5. Bila keluar out station, telefon isteri untuk memberitahu nombor telefon tempat penginapan dan memberitahu yang kita sudah selamat sampai.
6. Tunjukkan kepimpinan yang baik, suami adalah ketua rumahtangga dan pendidik.
7. Berdiskusi dari semasa kesemasa, jangan ketepikan pendapat isteri.
8. Sentiasa kemas, anggun dan wangi sebelum tidur bersama.
9. Sokong pendapat isteri sekiranya beliau bertentangan dengan pendapat orang lain, tetapi hendaklah secara rational bukannya mengiyakan semuanya...... sekiranya pendapat isteri anda salah.... betulkan.
10. Urut-mengurut isteri atau seumpamanya dari masa kesemasa.
11. Peluk dan belai isteri sekali-sekala tanpa implikasi seksual.
12. Sabar dan tenang bila mendengar cerita dan masalah isteri.
13. Pamerkan kasih sayang bila dikhalayak ramai. Jangan abaikan isteri atau tinggalkan beliau jauh bila berjalan.
14. Bila berpegang tangan, jangan biarkan tangan longlai.
15. Buatkan air minuman atau seumpamanya sekali-sekala.
16. Bila makan diluar, jangan harapkan isteri sahaja yang memilih tempat untuk makan.
17. Sabar bila isteri terlambat sedikit atau dengan tiba-tiba ingin menukar baju yang dipakai atau menukar rancangan.
18. Beri perhatian yang lebih pada isteri dari orang lain dikhalayak ramai.
19. Lebihkan isteri anda dari anak-anak.
20. Belikan hadiah kecil dari semasa kesemasa seperti minyak wangi dan jam Kad-kad ucapan juga dapat mengeratkan lagi hubungan kasih sayang dengan isteri.
21. Bila Hari Raya tiba nanti jangan hanya bagi 'angpau' kepada anak-anak sahaja . Tetapi bagilah juga kepada isteri anda. Tak kira lah berapa jumlahnya dan tak kisahlah samada dia bekerja atau surirumah tangga sahaja. Anda pasti seronok lihat isteri gembira.
22. Perempuan inginkan perhatian dan kasih sayang, terutamanya dari orang yang disayangi. Oleh itu tunjukkan sifat keperihatinan dan kasih sayang yang tiada nilai kepada mereka. Bila mereka rasa terhibur dan bahagia mereka akan menjadi seorang pasangan yang amat setia dan cinta sepenuh hati. Sekiranya kasih sayang yang mutlak telah didambakan kepada orang yang disayanginya, segala pengorbanan akan dilakukan tanpa memberi sebarang nilai-itulah perempuan.
23. Gunakan sepenuhnya teknologi yang ada dizaman sekarang. Seringlah menelefon atau menghantar e mail untuk bertanyakan khabar atau paling minima mengucapkan ‘Hai’ untuk menunjukkan bahawa dia sering di hati kamu. Bagi mereka walaupun satu ungkapan atau satu ayat, ia merupakan sesuatu yang sangat berharga dan begitu bahagia menerimanya.
24. Berkongsilah masalah dengan mereka, cuba dengar pendapat mereka, sekurang-kurangnya mereka akan berasa yang mereka itu penting dalam diri kamu dan diperlukan.
25. Jangan kamu ambil remeh temeh pada perkara yang amat penting bagi mereka. Mereka sangat kuat ingatan terhadap tarikh-tarikh penting, contohnya hari ulangtahun. Apa salahnya buat ‘surprise’ sekali sekala kepada orang yang kita sayangi. Mereka akan dapat rasakan yang kamu betul-betul menyayanginya.
26. Perempuan terkenal dengan sifat manjanya. Mereka sering ingin melakukan sesuatu bersama orang yang disayangi. Mereka akan meminta bantuan kamu walaupun mereka mampu melakukannya. Jangan menolak sekiranya kamu tiada halangan ketika itu. Inilah masanya untuk kamu menonjolkan ke’macho’an kamu!
27. Pujuklah mereka dan tenangkan mereka sekiranya mereka dalam kesusahan. Ketika ini mereka benar-benar inginkan kamu disisi mereka.
28. Jangan kedekut memberi pujian kepada mereka kerana mereka berhak mendapat pujian.
29. Berbincanglah kamu selagi kamu boleh berbincang dan berbincanglah bersama-sama dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Jangan kamu menggunakan kuasa veto kamu dalam membuat keputusan.
30. Cuba memahami keinginannya dan kemahuannya. Sesetengah perempuan tidak suka menyatakan secara terus terang tentang apa yang mereka inginkan, kadang-kadang mereka suka berkias dan memberi contoh ‘cerita orang lain’ kepada kamu. Jadi kamu kenalah peka dan gunakan kepakaran kamu untuk memenangi hati mereka.
31. Jangan lupa, mereka juga ada ego yang terselit di celah-celah kelembutan mereka. Apabila mereka terancam atau tercabar.. lahirlah sifat amarah, cemburu dan cepat merajuk. Masalah akan timbul bagi mereka yang suka memendam terhadap sesuatu yang mereka tidak puas hati. Mereka akan ‘meletup’ pada suatu hari. TETAPI kamu jangan sama-sama meletup. Kamu juga jangan lupa dalam diri kamu wujud satu sifat kepimpinan untuk menyelesaikan masalah yang timbul dalam keadaan yang terkawal Cari sebab mengapa ia terjadi dan bawa berbincang. Ditahap ini kesabaran, toleransi dan komunikasi amat penting. Lakukan dalam keadaan ketika mereka sudah 'sejuk'. Mungkin kamu juga boleh 'cool'kan diri kamu dengan berfikir secara positif contohnya mengapa mereka cemburu… itu kerana mereka SAYANGkan kamu!
Copyright© All Rights Reserved syahidahkasim.blogspot.com